Vaksin COVID-19: DAP gesa dedahkan maklumat 'potong barisan'

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 5, 2021 03:09 MYT
Pemimpin DAP menegaskan keutamaan harus diberikan kepada petugas barisan hadapan yang termasuk dalam fasa pertama secepat mungkin tanpa penangguhan lagi.
KUALA LUMPUR : Parti Tindakan Demoktratik (DAP) memandang serius terhadap dakwaan 'potong barisan' dalam proses pemberian vaksin bagi fasa pertama.
Dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat, pemimpin DAP menegaskan keutamaan harus diberikan kepada petugas barisan hadapan yang termasuk dalam fasa pertama secepat mungkin tanpa penangguhan lagi.
"Kami mengalu-alukan seruan daripada Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, supaya pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan memberikan maklumat mengenai cubaan sesetengah pihak untuk memotong barisan.
"Kami menyeru agar kerajaan bersikap telus dalam menangani isu ini dan mendedahkan mana-mana pihak yang dibuktikan terlibat dengan kejadian ‘potong barisan’ untuk diberikan pengajaran kepada yang lain.
"Ia adalah penting bahawa dakwaan ini tidak dibiarkan tanpa sebarang tindakan untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat dan untuk memastikan terdapatnya kesaksamaan vaksin dan kejayaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," jelasnya.
Antara lain, kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim turut memohon agar kerajaan memperincikan secara spesifik kumpulaan keutamaan bagi fasa kedua bermula April nanti.
"Ini penting untuk mengurangkan sebarang kekeliruan dan memastikan fasa kedua berjalan secara lancar terutamanya apabila kerajaan menyasarkan kira-kira 9.4 juta orang berusia lebih 60 tahun dan mereka yang mempunyai komorbiditi, yang menghidap penyakit kronik dan berisiko tinggi mendapat gejala yang serius dari COVID-19.
"Komunikasi dan koordinasi dengan pihak berkepentingan, pakar perubatan, klinik masyarakat dan rumah jagaan haruslah dipertingkatkan, untuk memastikan semua kumpulan ini tidak ketinggalan dan diberikan maklumat yang betul tentang pentingnya mendapatkan vaksin tersebut walaupun dalam keadaan kesihatan mereka," katanya.
Dalam pada itu, mereka turut menggesa agar pihak kementerian melakarkan satu kerangka kerjasama yang komprehensif antara pihak awam dan pihak swasta untuk bersama-sama menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) termasuk penerangan yang efektif.
Mereka turut menggesa agar menteri yang terlibat menasihati perdana menteri untuk menangguhkan pilihan raya sehingga imuniti kelompok dicapai.
#COVID-19 #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #DAP #potong barisan #Khairy Jamaluddin