KUALA LUMPUR : Kerajaan Jepun menyumbang peralatan rangkaian sejuk bernilai lebih RM6 juta bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan vaksin COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumbangan itu menerusi kerjasama Teknikal Malaysia dan Jepun yang diselaraskan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Jepun atas sumbangan tersebut yang sekali gus dapat melancarkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

"Bagi pihak rakyat Malaysia, kami ingin menzahirkan terima kasih kepada kerajaan Jepun atas sumbangan ini yang berjumlah RM6 juta.

Sumbangan ini termasuk 184 unit peti sejuk, 1,343 unit kotak pendinginan dan 1,579 unit pencatat data yang akan diagihkan ke fasiliti kesihatan di seluruh Malaysia secara berfasa.

Peralatan yang disumbangkan membantu menampung keperluan penyimpanan vaksin COVID-19 sepanjang PICK. Pastinya kita juga akan menggunakan alatan ini atas tujuan lain," beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut yang berlangsung di Putrajaya pagi tadi.

Majlis sumbangan berkenaan diserahkan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Tuan yang terutama Oka Hiroshi dan Senior Representative JICA Malaysia, Fukazawa Shinsaku.

Kerajaan Jepun melalui JICA telah menyumbang 184 unit peti sejuk, 1,343 unit kotak pendinginan (cold box) dan 1,579 unit pencatat data (data logger) yang diagihkan ke fasiliti kesihatan di seluruh Malaysia.

Pada masa sama, Khairy berharap kerjasama dua hala ini adalah contoh pakatan strategi  yang mempamerkan kebaikan manusia dalam memerangi COVID-19 bersama-sama dan berusaha untuk mencapai matlamat yang sama.