KUALA LUMPUR: Jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 negara pada 13 Jun ialah 128,912.

Ia menyaksikan penurunan tiga hari berturut-turut selepas mencapai sasaran 150,000 suntikan harian pada 8 Jun lalu.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, jumlah suntikan harian itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin seluruh negara setakat ini ialah 4.49 juta.

Menerusi infografik dikongsikan di Twitter rasmi JKJAV, jumlah harian melibatkan individu yang telah menerima dos kedua iaitu 26,704.

Manakala pemberian harian dos pertama pada 13 Jun ialah 102,208.

Jumlah kumulatif penerima vaksin dos pertama setakat 13 Jun ialah 3.13 juta, manakala dos kedua ialah 1.35 juta.



Negeri yang paling tinggi jumlah pemberian vaksin COVID-19 ialah Kuala Lumpur dengan lebih 552,000.

Ini diikuti Selangor dengan lebih 462,000 dan Sarawak dengan jumlah lebih 324,000 yang telah divaksinasi.

Sementara itu, jumlah pendaftaran vaksin setakat 13 Jun ialah 13.78 juta atau 56.80 peratus dengan Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi 3.5 juta.