KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melantik jurucakap khas untuk vaksin bagi menjelaskan maklumat penting mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Maklumat itu perlu diterangkan dengan sebaik mungkin supaya orang ramai dapat membina kepercayaan mereka terhadap vaksin yang bakal diberikan kepada mereka.

Katanya, walaupun program vaksinasi COVID-19 di negara sudahpun bermula, tetapi koordinasi dalam menyampaikan maklumat itu penting bagi mengelakkan kekeliruan.

“Apabila terlalu ramai individu seperti menteri-menteri berkata perihal isu yang sama, sudah pasti akan timbul kekeliruan.

"Justeru, pelantikan jurucakap khas ini akan memastikan kesemua informasi dapat disampaikan dengan baik dan teratur tanpa sebarang percanggahan.

“Semestinya, lebih ramai orang akan percaya dan yakin terhadap keberkesanan vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

BACA: Khairy dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan - Muhyiddin

Tambah Lip Eng, masih ramai yang tidak percaya dan tidak mempunyai keyakinan akan keberkesanan vaksin yang akan diberikan kepada mereka.

“Cabaran utama yang kita perlu hadapi sekarang adalah masih ramai orang di luar sana yang tidak mempunyai keyakinan dan tidak percaya akan keberkesanan vaksin yang akan diberikan ini.

“Oleh itu, penting untuk pihak kerajaan memastikan informasi umum berkaitan vaksin ini disampaikan kepada rakyat dengan jelas,” katanya lagi.