TUMPAT: Kerajaan Negeri Kelantan sasar penduduk negeri itu capai imuniti kelompok sehingga 80 peratus sebelum Oktober.

Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sasaran itu perlu direalisasikan sebelum ketibaan musim tengkujuh yang kebiasaanya bermula penghujung September.

"Kalau kita dapat sasar jadual oleh Kementerian Kesihatan awal atau Oktober, kita  dapat capai imuniti kelompok sekurang-kurangnya 70 hingga 80peratus.

"Kita mahu tekankan ini kerana keadaan berkemungkinan akan menjadi banjir. Jadi kalau kita dapat sempurnakan sebelum bulan Oktober, kita tidak ada masalah banyak," katanya.

Ahmad menjelaskan, Kelantan dijangka menerima 438,000 dos vaksin pada bulan ini.

Buat masa ini bekalan vaksin dihantar secara berperingkat, melibatkan 50,000 dos untuk setiap penghantaran.

Pada masa ini kapasiti pemberian vaksin di negeri itu adalah sekitar 15,000 dos sehari.