KUALA LUMPUR:Malaysia perlu memastikan laporan penilaian berkala diberi oleh syarikat pengeluar vaksin COVID-19 kepada negara penerima dalam perjanjian perolehan vaksin itu.

Pakar Dasar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng berkata ia amat penting supaya penilaian dari semasa ke semasa dapat dilakukan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Tiap-tiap kali ada penanda di dalam ujian klinikal vaksin tersebut atau telah ada data yang dikeluarkan daripada ujian klinikal itu, syarikat seperti Pfizer akan memberikan data tersebut kepada Agensi Perubatan dan Produk Penjagaan Kesihatan (MHRA) United Kingdom.

"Buat masa sekarang, NPRA Malaysia masih belum lagi menerima dokumen kelulusan kawal selia (regulatory approval dossier) untuk mereka menilai keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.

Jelasnya, amat penting untuk laporan itu diberi secara berkala dan bukan hanya sekali serahan.

Ia selepas beberapa penemuan terbaharu seperti strain virus dikesan di Britain termasuk kesan sampingan kepada penerima vaksin.

"Jadi kerajaan Malaysia boleh meminta kepada syarikat-syarikat yang akan kita tandatangani perjanjian seperti Moderna, Pfizer dan BioNTech atau AstraZeneca.

"Salah satu ciri-ciri atau permintaan daripada kerajaan Malaysia apabila sebelum kita menandatangani perjanjian tersebut ialah untuk meminta syarikat-syarikat tersebut untuk memberi data secara berkala dan bukan sebagai sekali serahan.

"Itu merupakan satu cara untuk mempercepatkan proses NPRA membuat penilaian dan kelulusan sekiranya perlu," ujarnya.

Perolehan vaksin COVID-19 ketika ini mencetuskan perdebatan terutama dalam kalangan pakar perubatan seperti tempoh masa kajian, kesan sampingan selain keperluan menyegerakan proses vaksinasi.

Selain tecetusnya strain baharu COVID-19 yang dikesan di Britain dan Afrika Selatan, tahap keselamatan dan keberkesanan vaksin turut menjadi kebimbangan pada ketika ini.