KUALA LUMPUR: Seramai 961,597 atau 27.1 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Menurut laman web COVIDNOW, seramai 1,569,286 kanak-kanak atau 44.2 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,899,554 atau 93.2 peratus telah lengkap vaksinasi manakala 2,997,051 atau 96.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam masa sama, sejumlah 16,049,816 atau 68.2 peratus golongan dewasa telah menerima dos penggalak manakala 22,969,639 atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos dan 23,245,044 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Bagi pemberian dos harian pula, sebanyak 28,466 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam melibatkan 9,672 dos pertama, 15,534 dos kedua dan 3,260 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,478,577.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak enam kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan dua kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan masing-masing satu kes di Selangor, Perlis, Kedah dan Johor.

-- BERNAMA