KUALA LUMPUR: Lebih setengah juta remaja berusia antara 12 dan 17 tahun sudah menerima sekurangnya satu dos vaksin COVID-19 sehingga Rabu.

Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, negeri Sabah antara tertinggi dengan lebih 56 peratus remaja di negeri itu sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

Dalam muat naik di laman Twitter, Khairy menjelaskan suntikan vaksin dalam kalangan remaja ini adalah di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.


Program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini, khususnya membabitkan pelajar sekolah bermula Isnin lalu.

Sebelum ini kerajaan memaklumkan langkah pemberian vaksin ini sebagai persediaan bagi pembukaan sekolah.

Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) turut menyasarkan 60 peratus remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini dan 80 peratus remaja mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.