GUA MUSANG: 205 komuniti Orang Asli suku kaum Bateq di Pos Lebir, Gua Musang menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 dos tunggal CanSino di Kelantan.

Mereka adalah penerima terawal bagi merancakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan pedalaman.

Program suntikan itu dikendalikan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Krai, Dr Hazura Mat Zubir berkata, dianggarkan sebanyak 8,000 dos vaksin jenis CanSino akan diberikan kepada golongan Orang Asli di tiga jajahan di Kelantan iaitu Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.

"Walaupun ia di bawah jajahan Gua Musang, untuk program kesihatan ia adalah di bawah pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai, jadi sasaran hari ini seramai 205 orang penduduk Orang Asli di kawasan kampung ini.

"Selama satu jam kita bermula seramai 50 orang telah hadir mendapatkan suntikan. Kita harap program ini berjayalah. Tetapi kalau masih ramai lagi yang tidak datang, kita mungkin akan membuat vaksinasi bergerak ke kampung-kampung," katanya.

Menurut pengawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Azman Ngadiron, Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang bersama JAKOA akan terlibat dalam program ini khususnya untuk kawasan pedalaman bermula 15 September.

"Gerak kerja akan diteruskan bersama pasukan CTF daerah diketui oleh KKM, PKD GM dan JAKOA akan terlibat sama khususnya untuk pos-pos pedalaman bermula pada 15 September.

"Kita juga dapat kerjasama daripada pihak bomba untuk menyediakan pengangkutan udara bagi menerbangkan pasukan KKM untuk buat suntikan vaksin di pos-pos pedalaman," katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin berkata penempatan Orang Asli Pasir Linggi merupakan kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis CanSino.

"Saya difahamkan penempatan Orang Asli Pasir Linggi kumpulan pertama yang menerima suntikan jenis baharu CanSino yang mana sekali suntik sahaja.

"Suntikan ini sesuai untuk masyarakat Orang Asli kerana melalui satu sintikan kita dapat pastikan satu suntikan dapat capai imuniti kelompok 80 peratus sebelum Oktober tahun ini," katanya.

Bagi masyarakat Orang Asli pula mereka bersyukur apabila penantian menerima suntikan vaksin COVID-19 berakhir.

Menurut Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail, beliau terpaksa memujuk masyarakat Orang Asli yang enggan terima suntikan selepas mendengar pelbagai berita yang tidak benar tentang vaksin COVID-19.

"Kalau ikut memang susah disebabkan Orang Asli ini, dia mendengar cerita macam-macam dan terus lari ke kawasan bukit.

"Tetapi setelah saya dapat pujuk mereka dengan memberi pelbagai ceramah dan sebagainya, mereka datang untuk memberi kerjasama kepada pihak kerajaan bagi mendapatkan vaksin pada hari ini," katanya.

Jabatan Kesihatan Kelantan sebelum ini memaklumkan, vaksin CanSino dengan suntikan dos tunggal akan diberikan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Kelantan.