TAWAU: Sikap segelintir masyarakat di negara ini yang enggan menerima suntikan vaksin memberi kesan dan kekangan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mensasarkan 80 peratus rakyat Malaysia menerima vaksin COVID-19 pada hujung tahun 2021.

Malah sistem data pendaftaran MySejahtera juga menunjukkan negeri Sabah merupakan antara negeri yang paling rendah pendaftarannya untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

Sehubungan dengan itu Astro AWANI mendekati penduduk di sekitar daerah Tawau yang sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 dan daripada pelbagai lingkungan umur dan bidang pekerjaan untuk berkongsi pengalaman.

Ahmad Siong, 69, merupakan pengurus rumah anak-anak yatim Ar-Raudhah Batu Empat, Jalan Apas, Tawau yang sudah melengkapkan kedua-dua dos berkongsi, dia tidak mengalami kesan sampingan yang memudaratkan.

"Saya menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 20 April dan dos kedua pada 11 Mei. Setakat ini saya dalam keadaan sihat.

"Cuma selepas suntikan dos kedua itu, saya mengalami gejala demam namun selepas memakan ubat demam, saya tidak hadapi apa kesan sampingan lain," katanya.

Manakala Agustina Rara, 49, yang bekerja sebagai jururawat di klinik swasta, juga tidak mengalami kesan sampingan yang memudaratkan.

Dia turut yakin bahawa vaksin COVID-19 adalah satu satunya langkah perlindungan diri yang perlu diambil semua orang.

"Pada mulanya saya ada rasa risau dan gementar akibat pengaruh daripada media sosial dan sebagainya.

"Namun selepas disuntik dos pertama, saya tidak alamai kesan sampingan langsung. Saya hanya rasa sedikit selepas terima suntikan dos kedua namun sehingga hari ini tiada apa-apa kesan sampingan yang memudaratkan.

"Saya yakin bahawa vaksin ini perlu diambil oleh semua orang untuk perlindungan diri serta orang lain," katanya.

Bagi Mappe Yunus, 59, pula sebagai peniaga dia turut mengambil vaksin kerana ia merupakan langkah terbaik untuk perlindungan diri dan masyarakat.

"Saya yakin tiada kesan sampingan kerana kerajaan sudah kaji vaksin ini sebelum membelinya.

"Jadi janganlah ragu-ragu, yang belum dapat vaksin lagi, silalah tampil untuk daftarkan diri," katanya.

Sehingga Mei 2021 pendaftaran penduduk bagi daerah Tawau untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 adalah sekitar 47,000.