KOTA KINABALU: Perlu bermalam di sekolah untuk memastikan lebih daripada 1,000 penduduk di kawasan pedalaman menerima vaksin mereka.

Itu antara perkara yang perlu dihadapi barisan hadapan khususnya di Sabah dalam melaksanakan capaian vaksinasi kepada penduduk yang berdepan masalah pengangkutan untuk keluar dari kawasan kampung mereka yang berbukit bukau.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Ketua Penyalaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kota Kinabalu, Dr Suhaila Osman berkata menerusi data diperolehi mendapati seramai 1,068 orang layak divaksin melibatkan penduduk dari beberapa buah kampung.

Antara kampung berkenaan adalah Kampung Talungan, Natai, Natai Baru, Bunsut dan Lawa Mondou.

"Sebenarnya kami memang sudah bersedia fizikal dan mental untuk bermalam di sekolah ini sekiranya  program ini tidak dapat dihabiskan sehingga ke petang.

"InsyahAllah, kekangan setakat ini yang kami hadapi adalah masalah internet, itu yang melambatkan proses tetapi kami ada rancangan bagi mengatasinya dan kami akan cuba habiskan pada hari ini juga, " katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin PPV sementara di Sekolah Kebangsaan Talungan, Menggatal pada Jumaat sempena Program Outreach Imunisasi COVID-19 Daerah Kota Kinabalu.

Menurut Suhaila lagi, pihaknya sangat menantikan ketibaan vaksin satu dos untuk negeri itu dan ia disifatkan sebagai jalan terbaik bagi program di pedalam terbabit.

Kerana buat masa ini pihaknya masih perlu berulang alik ke sesuatu kawasan pedalaman untuk pemberian dos kedua.

"Sebenarnya kami menunggu vaksin yang hanya satu dos sahaja itu tapi disebabkan ianya belum sampai lagi dan kami sedang mengejar masa umtuk memberikan vaksin kepada seramai mungkin kepada penduduk di Sabah ini.

"Itu sebabkita menjalankan program ini dan pergi ke kampung-kampung untuk memberi suntikan vaksin kepada seramai mungkin penduduk di sini," ujarnya lagi.

Selain pemberian vaksin di PPV terbabit pasukan tersebut turut melakukan program vaksin rumah ke rumah khusus bagi penduduk warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Program tersebut adalah anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Penerangan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).