KLANG: Kejayaan mencapai kadar vaksinasi tertinggi, iaitu melebihi 400,000 dos sehari, merupakan satu pencapaian yang membanggakan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia merupakan suatu ‘milestone’ yang sangat baik untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), serta usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok.

“Sukacita juga saya ingin maklumkan bahawa semalam (12 Julai 2021), kita telah berjaya mencapai kadar vaksinasi yang tertinggi iaitu melebihi 400,000 dos sehari.

“Ini merupakan satu ‘milestone’ yang sangat baik buat program vaksinasi kita dan juga usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, insya-Allah,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai membuat lawatan mengejut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 negara mencecah rekod tertinggi pada 12 Julai, iaitu sebanyak 421,479 dos.

Melalui perkongsian data di akaun Twitter miliknya, pemberian dos pertama adalah sebanyak 264,034 manakala dos kedua pula sebanyak 157,445 suntikan.

BACA: Vaksin COVID-19: Suntikan harian cecah 421,479, tertinggi pernah direkodkan


Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin untuk menambah lagi perolehan vaksin sedia ada.

"Walaupun kita telah beli, tetapi ia lambat sampai. Kalau ada yang lain boleh  bekal...contohnya Pharmaniaga boleh tambah dua ke tiga juta dos, kita akan beli. Ini komitmen Kerajaan Perikatan Nasional," katanya lagi.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau gembira bilangan negeri yang memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) semakin bertambah, dengan Sarawak menjadi negeri terbaharu.

Langkah-langkah yang telah diambil melalui Pelan itu, katanya lagi, dilihat agak berkesan, dan beliau yakin negara juga bakal memasuki Fasa Dua PPN tidak lama lagi.