Vaksin COVID-19: Usaha berterusan kerajaan mempercepatkan sasaran imuniti kelompok

Astro Awani
Jun 5, 2021 03:54 MYT
Peningkatan kapasiti ini diharapkan mampu memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan penglibatan lebih 1,000 pusat dan klinik perubatan swasta bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Selain itu jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam memastikan tiada yang ketinggalan dalam program vaksinasi ini, kerajaan turut melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung dan kawasan pedalaman.
“Untuk mempercepatkan lagi program vaksinasi, kerajaan juga telah melibatkan pusat dan klinik perubatan swasta dalam program vaksinasi kebangsaan ini. Pada penghujung Jun 2021, sebanyak 1,000 klinik perubatan swasta atau PPVGP disasarkan akan terlibat dalam PICK.
“Dalam pada itu bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam program vaksinasi ini, kerajaan telah melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, Orang Asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.
“Kerajaan juga telah membuka PPV khusus bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti di Malaysian Association for the Blind di Brickfields bagi OKU penglihatan bersama Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat,” katanya menerusi ucapan khas berhubung perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Sabtu.
Justeru itu ujarnya, peningkatan kapasiti ini diharapkan mampu memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk, seterusnya mempercepatkan usaha negara untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Saya ambil maklum, keresahan ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin masing-masing. Oleh itu, saya telah mengarahkan JKJAV untuk memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin.
“Saya juga mendengar keluhan daripada penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin.
“Untuk itu, saya telah mengarahkan semua Kementerian dan Agensi Kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset Kerajaan bagi mempermudahkan untuk mereka mendapat vaksin,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau juga meminta JKJAV untuk melihat semula proses pendaftaran vaksin agar dapat dipermudahkan lagi, termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat divaksinasi.
#COVID-19 #vaksin #Muhyiddin Yassin #Klinik swasta #PICK #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan