SANDAKAN: Kira-kira 10,000 penduduk sandakan tidak hadir semula bagi mendapatkan suntikan vaksin dos kedua.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, ia satu jumlah yang besar.

Menurutnya, setakat ini Sandakan merekodkan 42 peratus daripada 363,000 penduduk yang sudah menerima dua dos vaksin.

Namun, terdapat kira-kira 3 peratus daripada 363,000 tidak hadir semula bagi mendapatkan suntikan dos kedua.

"Setakat ini mereka yang telah lengkap menerima dos dua suntikan adalah sebanyak 42 peratus, 6 peratus yang tidak ambil vaksin, 3 peratus ambil AstraZeneca, tinggal 3 peratus lagi penerima dos kedua yang belum ambil sampai hari ni.

"3 peratus tu kalau darab dengan 363,000, lebih 10,000 lagi dos dua tinggal. Mana pergi 10,000 orang ini? Jadi saya minta 10,000 orang yang tertinggal dos dua ni mungkin sebab dia bercuti, mungkin sebab dia demam atau sakit, mungkin sibuk, jangan tunggu lama-lama. Jangan sampai  berbulan, ambil secepat mungkin,” katanya dalam satu sidang media di Sandakan, pada Isnin.

Justeru itu, beliau berharap semua penerima vaksin berkenaan boleh hadir ke mana-mana Pusat Pemberian Vvaksin (PPV) yang ada di Sandakan untuk mendapatkan suntikan vaksin dos kedua.

Dalam pada itu, mengulas mengenai vaksin remaja di Sandakan, beliau berkata, seramai 53,500 remaja perlu divaksin di daerah berkenaan.

Kira-kira 25,000 merupakan remaja warganegara dan 28,500 lagi bukan warganegara.

"Setakat ni untuk makluman kita menyasarkan sebanyak 53,500 remaja. Kalau ikutkan data daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah, kita mempunyai dalam 25,000 pelajar sekolah menengah yang ada di Sandakan.

"Dicampur dengan pelajar berusia 12 tahun iaitu Tahun 6," katanya.

Jelas beliau, setakat lima hari pelaksanaan vaksin remaja, sebanyak 20 peratus sudah menerima satu dos suntikan vaksin dan sambutan dalam kalangan kategori berkenaan juga sangat menggalakkan.