KUALA LUMPUR: Hanya Negeri Kelantan dan Sabah masih belum mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa melebihi 80 peratus, setakat Khamis.

Menurut portal COVIDNOW, kedua-dua negeri itu masing-masing hanya mencapai 75.0 peratus dan 66.9 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Lembah Klang mencatatkan kadar vaksinasi populasi dewasa tertinggi iaitu 112.5 peratus.

Ini diikuti Negeri Sembilan dengan 99.7 peratus, Labuan (99.4 peratus), Perlis (94.6 peratus), Pulau Pinang (92 peratus), Johor (90.1 peratus)dan Melaka (90 peratus).

Seterusnya, Sarawak (89.9 peratus), Terengganu (89.3 peratus), Perak (81.8 peratus) Pahang (81.6 peratus) dan Kedah (81 peratus).

Seramai 21,355,550 juta individu atau 91.2 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 95 peratus atau 22,247,174 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 21,907,522 juta individu atau 67.1 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Manakala, 75.5 peratus atau 24,663,184 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 551,972 atau 17.5 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 206,418 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 46,458,672 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.