KUALA LUMPUR: Sebanyak 200,000 dos vaksin CanSino berbentuk 'finish product' (produk akhir) diterima daripada pembekal CanSino Biologics Inc, China, hari ini.

Vaksin dos tunggal yang pertama di Malaysia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH361, pada jam 7.50 pagi ini.

"200,000 dos vaksin itu ialah sebahagian daripada 3.5 juta dos vaksin CanSino yang telah ditempah oleh Malaysia dengan penghantaran dibuat secara berperingkat.

"Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO) adalah Pemegang Pendaftaran Produk bagi CanSino di Malaysia," menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan hari ini.

Ketibaan vaksin tersebut disambut Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah. 

"Bekalan ini akan dapat memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutamanya di kawasan yang rendah akses.

"Ia seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara mengikut garis masa yang ditetapkan," kata MOSTI. 

SOLBIO, anak syarikat Solution Group Bhd (SGB), pada 30 Julai menandatangani perjanjian produk akhir serta perjanjian produk pukal dengan CanSino Biologics Inc untuk pembekalan vaksin 'Recombinant Ad5-nCoV' bagi penggunaan vaksin CanSino di Malaysia.


Menerusi pemeteraian kedua-dua perjanjian itu, SOLBIO boleh memenuhi obligasinya untuk membekalkan 3.5 juta dos vaksin COVID-19 kepada KKM dan menerima pesanan tambahan daripada KKM, kerajaan negeri, sektor swasta dan negara ASEAN lain.

Terdahulu, vaksin CanSino mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan di Malaysia oleh Pihak Berkuasa Bekalan Dadah (PKBD) pada 15 Jun lalu.

Ketika ini, tiga jenis vaksin diberikan untuk penduduk Malaysia di bawah PICK, iaitu Cominarty (Pfizer BioNTech), CoronaVac (Sinovac) dan AstraZeneca.

Manakala satu lagi vaksin dos tunggal, iaitu Johnson & Johnson, turut telah mendapat kelulusan bersyarat.

BACA: Bekalan pertama vaksin CanSino tiba di Sabah minggu hadapan - Hajiji

BACA: Vaksin dos tunggal CanSino sesuai digunakan di pedalaman Sarawak - Uggah

Bekas Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini berkata, Sabah antara negeri terawal yang akan menerima vaksin CanSino.

Katanya, ini bagi memudahkan proses vaksinasi menjangkaui masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil yang mana mobiliti mereka terkesan oleh keadaan muka bumi yang agak sukar dan jauh.

Berdasarkan ujian klinikal dijalankan di Pakistan, vaksin CanSino menunjukkan keberkesanan 65.7 peratus dalam mencegah kes COVID-19 bergejala dan keberkesanan 90.98 peratus dalam menghentikan gejala teruk.

Vaksin CanSino telah digunakan di Pakistan, Mexico, Rusia, Argentina dan Chile.