KUCHING: Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Sarawak dijangka bermula selepas 3 Februari depan.

Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, pihaknya berharap ibu bapa atau penjaga peka dengan maklumat terkini berkaitan pelaksanaan program tersebut.

Kerajaan negeri katanya, memerlukan kerjasama masyarakat dalam memastikan keselamatan pelajar di sekolah di negeri itu dapat ditingkatkan.

“Saya berharap dengan adanya program vaksinasi lima hingga 11 tahun ini yang akan bermula selepas 3 Februari, kita akan dapat menyediakan suasana yang selamat untuk kanak-kanak di sekolah.

"Seperti di Kedah, mereka sudah ada kluster, saya percaya ianya melibatkan varian Omicron kerana bagaimana seramai 535 pelajar dan 25 guru dijangkiti dengan mudah, ini menunjukkan betapa mudahnya varian ini berjangkit,” katanya.

Jelas Dr Sim, masyarakat perlu memahami tujuan utama kerajaan negeri menggesa pengambilan vaksin termasuk kanak-kanak.

Perluasan program vaksinasi dan tindakan tegas Sarawak dalam melaksanakan prosedur operasi standar (SOP) COVID-19 adalah relevan dengan keupayaan fasiliti kesihatan yang terhad di negeri itu.

“di Sarawak, tidak kira berapa banyak hospital medan yang kita bina, kita tidak akan mempunyai fasiliti kesihatan sebanyak yang dibina di semenanjung Malaysia, kerana itu kita sangat memahami situasi ini.

"Seperti menutup secara perlahan-lahan paip air, kita dengan segera menutup semua cabang yang menyumbang kepada jangkitan berlaku.

"Oleh kerana ini juga, vaksinasi melibatkan kanak-kanak ini dipertimbangkan untuk dilaksanakan dengan segera,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Media oleh Persatuan-persatuan Cina Bersekutu bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Sarawak pada Selasa.

Terdahulu Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, PICKids akan dilancarkan pada 3 Februari depan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

BACA: Pemberian vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun bermula Februari

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa yang sama mensasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga 11 tahun dalam sistem pendidikan diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan.