KOTA BHARU: Jumlah pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Kelantan semakin tinggi menyaksikan proses vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negeri berjalan baik, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata, sekiranya Kelantan menerima bekalan dos vaksin COVID-19 yang lebih tinggi, pihaknya yakin proses vaksinasi seterusnya sasaran imuniti kelompok pada akhir September atau awal Oktober dapat dicapai.

"Pendaftaran tinggi sebab hasil kempen (pendaftaran), cuma kita tak ada barang (vaksin COVID-19) tetapi program vaksinasi bergerak setakat (bekalan vaksin) yang ada.

"Kita perlukan lebih kurang sejuta dos vaksin supaya imuniti kelompok dapat dicapai hujung September atau awal Oktober, sebelum musim tengkujuh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya berharap agar permintaan tambahan bekalan itu dapat disegerakan susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diberikan tempoh sehingga akhir bulan depan untuk memastikan enam negeri mencapai kadar vaksinasi COVID-19 sebanyak 50 peratus bagi populasi dewasa.

Mohd Amar berkata sekiranya bekalan dos vaksin COVID-19 lewat diterima, kerajaan Kelantan terpaksa memikirkan alternatif lain termasuk perlu membeli sendiri.

"Proses vaksinasi bergantung kepada bekalan dos vaksin, Kerajaan Negeri sudah membuat perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan, sekiranya (Kerajaan Persekutuan) tidak dapat membekalkan maka mungkin kita kena cari jalan dapatkan sendiri termasuk membeli," katanya.

24 Ogos lepas, Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan diberitahu MOSTI memaklumkan negeri itu akan menerima 700,000 dos vaksin COVID-19 pada September.

Berdasarkan laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/ seramai 859,101 atau 69.5 peratus penduduk negeri ini telah mendaftar PICK setakat Ahad lepas.

-- BERNAMA