KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 jenama Sinovac adalah selamat untuk kegunaan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Datuk Zulkarnain Md Eusope dalam satu kenyataan pada Isnin, sehingga kini sudah 63 juta dos vaksin sudah diberikan kepada remaja dalam lingkungan usia berkenaan di China.

Malah, negara itu sudah mula memberikan vaksin tersebut buat kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun.

"Kita memberi jaminan bahawa berdasarkan data yang diperoleh, terbukti ia berkesan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja dari dijangkiti COVID-19.

"Vaksin Sinovac COVID-19 dibangunkan menggunakan virus yang tidak aktif, iaitu teknologi digunakan lebih dari 40 tahun dan juga sering digunakan pada pelbagai jenis vaksin di pasaran termasuk untuk polio, hepatitis A dan rabies.

"Menerusi analisis AEFI terhadap 63 juta vaksin juga menunjukkan Sinovac secara keseluruhannya mempunyai profil keselamatan baik dikalangan populasi kanak-kanak.

Data diperoleh hanya menunjukkan simptom normal dihadapi seperti pening dan loya yang sangat ringan," kata beliau.

Ujarnya, sehingga kini tiada laporan mengenai risiko keselamatan kesan sampingan akibat pemberian vaksin Sinovac di China dan imunisasi (AEFI) dengan vaksinasi.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut mengumumkan bahawa penggunaan vaksin Sinovac buat kanak-kanak dan remaja telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA), tambah beliau lagi.

Mengulas lanjut, vaksin itu hanya terdapat di beberapa hospital dan klinik swasta terpilih dalam masa terdekat sebagai pilihan kepada ibu bapa yang ingin mendapatkan vaksin berkenaan untuk anak masing-masing.

"Kita berharap dengan usaha ini, sektor pendidikan akan dibuka kembali terutama kepada pelajar di sekolah menengah.

"China kini mula bergerak untuk memberi vaksin kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun, kami juga akan memohon kelulusan untuk usia berkenaan juga sebaik saja data keselamatan diperoleh untuk pembukaan sektor pendidikan lain pula," tambahnya.