KUALA LUMPUR: Golongan ibu bapa dan penjaga tidak perlu gusar dengan kemungkinan jagaan mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun mendapat myocarditis (radang jantung) selepas diberi vaksin COVID-19.

Pakar pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail yang juga Pengerusi Program Immunise4Life berkata, risiko bagi golongan berkenaan untuk mendapat myocarditis jika dijangkiti COVID-19, adalah enam hingga 34 kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang mendapat vaksin.

Berdasarkan data sedia ada daripada Pfizer dan Moderna, beliau berkata, golongan berkenaan perlu mendapat perlindungan sewajarnya, memandangkan sekolah bakal dibuka tidak lama lagi.

“Memang ada beberapa keraguan, tak senang hati nak vaksin kanak-kanak. Tapi kalau kita tengok pada dahulu memang KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ada perancangan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak, tapi mereka tarik balik sebab ada kes masalah radang jantung kepada kanak-kanak.

“Tetapi sekarang, data yang telah dikemukakan dan didapati kes itu sudah kurang dari apa yang berlaku, jika kanak-kanak berkenaan dijangkiti COVID-19.

“Kalau bagi mereka (remaja) yang tak diberi vaksin, risiko untuk mendapat radang jantung, jika dijangkiti COVID-19, adalah enam hingga 34 kali ganda dibandingkan dengan mereka yang diberikan vaksin,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak, yang bermula hari ini akan melibatkan 240,000 pelajar di seluruh negeri itu secara berperingkat.

Seramai 375 pelajar berusia 16 dan 17 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang dan Pusat Perlindungan Wanita Taman Seri Puteri di Kuching akan menjadi kumpulan remaja pertama menerima vaksinasi di negara ini.g

Selain itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan sebagai berkata, suntikan vaksin COVID-19 terhadap remaja di Labuan dan Lembah Klang akan diberikan selepas vaksinasi di Sarawak selesai.

Mengulas lanjut, Dr Zulklifli berkata, Sarawak wajar menjadi negeri pertama program berkenaan memandangkan lebih 80 peratus populasi dewasa di sana sudah selesai menerima dua dos suntikan.

Negeri-negeri lain, katanya lagi, turut memulakan program tersebut selepas populasi dewasa di negeri berkenaan juga mencapai minimum 80 peratus kadar vaksinasi.

Namun, Dr Zulkifli berkata, pemberian vaksin kepada remaja lingkungan umur berkenaan tidak seharusnya dijadikan strategi utama, sebaliknya vaksinasi perlu diperluaskan kepada keseluruhan ekosistem persekolahan.

“Jika nak dimulakan vaksinasi kerana perlu memulakan kembali persekolahan, yang penting bukan beri vaksinasi kepada kanak-kanak, tetapi vaksin harus diperluaskan kepada orang sekeliling kanak-kanak atau remaja berkenaan.

“Contohnya guru-guru, kerani sekolah, pengawal keselamatan, orang yang jaga kantin sekolah dan  pemandu bas sekolah... inilah orang-orang dewasa yang mengelilingi kanak-kanak atau pelajar,” katanya lagi.