KUALA LUMPUR: Rancangan untuk menjalankan proses vaksinasi terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun adalah wajar dalam konteks melindungi golongan itu, namun dalam masa yang sama ia memerlukan kajian dan perancangan yang mencukupi dan lengkap.

Menurut pakar kesihatan awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, ketika ini hanya beberapa negara yang melaksanakan program vaksinasi terhadap kanak-kanak termasuk Amerika Syarikat dan ia hanya membabitkan vaksin dari jenis Pfizer.

“Perlu diingat bahawa ketika ini ia hanya tertumpu kepada vaksin yang dikeluarkan oleh Pfizer. Jadi vaksin-vaksin lain itu belum lagi ada kajian yang terbaharu ataupun kajian yang lengkap.

“Dari pengalaman-pengalaman luar negara, didapati memang ada kesan sampingan kepada kanak-kanak apabila diberi vaksin Pfizer ini. Contohnya, yang paling memberi kesan ialah terhadap masalah sakit jantung atau apa yang kita panggil sebagai miokarditis. Oleh sebab itu, ada sesetengah negara berhati-hati untuk memberi (suntikan vaksin) kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Pada masa yang sama katanya, pihaknya sangat berharap agar kerajaan dapat melakukan kajian yang lebih teliti terhadap pemberian vaksin terhadap golongan itu walaupun ia difikirkan mempunyai kewajaran.

Ia terutamanya membabitkan risiko kesan sampingan dan segala kemungkinan lain, selain ia perlu diimbangi antara keperluan dan juga mudarat yang mungkin akan berlaku.

“Setelah kajian dan jika keputusanya memuaskan hati, maka diharap dapat diperkenalkan program vaksinasi ini pada masa sesuai. Yang paling penting sekali adalah kita kena seimbangkan antara risiko jangkitan COVID-19 dan juga kesan sampingan.

“Daripada kajian yang lepas nampaknya risiko adalah lebih tinggi daripada kesan sampingan. Jadi ada potensi bahawa vaksinasi untuk kumpulan 5 hingga 12 tahun ini dapat diberikan. Apapun kita perlu tunggu keputusan Kementerian Kesihatan nanti," jelasnya.

Beliau juga tidak menafikan berlakunya kes membabitkan kematian yang berlaku di luar negara membabitkan kumpulan kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin, namun ia masih dianggap terpencil.

“Kita tidak boleh nafikan fakta bahawa ada kesan daripada vaksinasi kanak-kanak ini terutamanya seperti yang saya kata membabitkan penyakit jantung. Walaubagaimanapun kes-kes ini terpencil dan risikonya adalah kecil jika dibandingkan risiko kanak-kanak di negara kita dijangkiti COVID-19.

“Kumpulan kanak-kanak dari kalangan 5 hingga 12 tahun di negara kita berjumlah tiga juta lebih dan mereka aktif di sekolah. Sebenarnya mereka ini paling lewat diberikan vaksinasi berbanding kumpulan lain adalah kerana tidak ada kajian lengkap sebelum ini yang menggunakan suntikan terhadap kanak-kanak dari (kumpulan) usia tersebut," jelasnya lagi