KUALA LUMPUR: Vaksinasi di Pulau Langkawi, Kedah dijangka mencapai imuniti kelompok seawal minggu ketiga bulan ini selepas daerah itu ketika ini berada di kedudukan tertinggi pemberian vaksin berbanding 11 daerah lain.

Pengerusi Jawatankuasa Program Vaksinasi Langkawi  merangkap Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, perkembangan memberangsangkan ditunjukkan selepas sebanyak 87.5 peratus atau 66,833 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat 13 Ogos.

Sementara, sebanyak 61.2 peratus atau 46,731 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, tambahnya.

"Sehingga 13 Ogos, individu berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar untuk menerima vaksin telah mencapai 98.07 peratus.

"Pendaftaran ini dibuat melalui tiga saluran iaitu MySejahtera sebanyak 71,155 orang, laman web (3,753), serta melalui telefon (20)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Mengulas lanjut, Saiful Anwar berkata pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Integrasi (PPVI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) sejak 17 Julai lalu juga telah mempertingkatkan lagi pemberian vaksin di pulau legenda itu.

Ia merupakan PPV ketiga selepas PPV Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Dewan Syifa.

"Kalau dulu kita mula dengan PPV awam, contohnya di Lada, sehari kita beri suntikan antara 800 hingga 900 orang, manakala Dewan Syifa sekitar 600 orang sehari.

"Tetapi bila PPV Integrasi di LICC dibuka, kita telah meningkatkan kapasiti daripada 1,388 suntikan pada hari pertama kepada 3,000 suntikan," ujarnya lagi.

Sebelum ini,  ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) memaklumkan PPV Integrasi LICC telah berjaya mempercepatkan kadar vaksinasi dengan menyumbang lebih 64,000 vaksinasi dos pertama dan kedua dalam memastikan sasaran dapat dicapai mengikut masa yang ditetapkan.


Jelas Saiful Anwar lagi, program imunisasi di daerah tersebut dipergiatkan dengan sokongan pelbagai agensi, individu perseorangan dan kementerian berkaitan.

Hadir di PPV Integrasi di  LICC semasa Lawatan Kerja ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor

Katanya, selain pendaftaran melalui vaksinasi, pejabat daerah turut menggerakkan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu penduduk setempat mengisi borang pendaftaran vaksinasi secara manual.

Beliau dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada pihak ProtectHealth, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kerana melancarkan program vaksinasi di Langkawi.