Varian baharu COVID-19: Kerajaan terus waspada walaupun belum dikesan

Fauzi Suhaimi
Disember 25, 2020 07:58 MYT
Dr Noor Hisham berkata, KKM juga akan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk usaha mencegah daripada daripada penularan varian baharu berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan sentiasa berwaspada dengan mutasi baharu COVID-19 yang dikenali sebagai VUI-202012/01 meskipun ia masih belum dikesan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM juga akan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk usaha mencegah daripada penularan varian baharu berkenaan.
Menurutnya, varian baharu tersebut didapati menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus kadar penghantaran dan peningkatan kes tiga kali ganda dalam tempoh pemberitahuan iaitu 14 hari.
"Varian berkenaan mempunyai mutasi baharu dalam protein lonjakan, termasuk perubahan asid amino dan penghapusan tiga asid amino.
“Pada masa ini, varian ini masih tidak dijumpai di Malaysia. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) akan terus melakukan penjujukan keseluruhan genom untuk memantau kehadiran varian ini dan juga varian lain,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Agensi Kesihatan Awam England (PHE) mengesan mutasi baharu virus COVID-19 yang dikenali sebagai VUI-202012/01, khususnya di selatan dan timur negara itu.
Menurut laman sesawang kerajaan United Kingdom, mutasi baharu itu dikesan menjangkiti 1,108 individu di England setakat 13 Disember lalu.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini IMR, Institut Kesihatan Nasional (NIH) dan KKM telah melakukan analisis terhadap lebih daripada 120 urutan genom penuh SARS-CoV-2 daripada sampel klinikal merangkumi gelombang pertama hingga gelombang ketiga kes COVID-19.
Jelas beliau, analisis tersebut memberikan fokus kepada pemantauan mengikut masa sebenar terhadap semua mutasi gen terutama dalam protein lonjakan yang memainkan peranan penting dalam proses pengecaman reseptor dan proses membran sel.
“Selain daripada mutasi lonjakan D614G yang paling terkenal, kami kini melihat bentuk varian lain, A701V, yang pertama kali dikesan dalam kluster Benteng Lahad Datu (Benteng LD) dan kemudian merebak ke hampir semua kelompok termasuk di Semenanjung Malaysia dan Sabah (pos Kluster Benteng LD),” katanya.
Tambahnya, kelaziman A701V yang dicatatkan dalam kes pada gelombang ketiga adalah 85 peratus ataupun 51 daripada setiap 60 kes, sementara D614G pula adalah 100 peratus.
Katanya lagi, penyebaran A701V yang kini tersebar bersama D614G itu adalah berpadanan dengan peningkatan kes yang luar biasa semasa gelombang ketiga.
“Di peringkat global, Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England juga melaporkan A701V pada masa yang hampir sama dengan Malaysia. Dalam pangkalan data GISAID, kelaziman mutasi ini didapati sekitar 0.18 peratus.
“Peranan mutasi ini masih belum ditentukan kerana pada kebanyakan kelompok yang mempunyai mutasi ini, kehadiran mutasi A701V mungkin telah memberi kelebihan kepada virus untuk menjadi strain dominan dan seterusnya menunjukkan penularan yang lebih baik,” katanya lagi.
#Noor Hisham Abdullah #Dr Noor Hisham Abdullah #COVID-19 #United Kingdom #England #Australia #Mutasi Baharu #VUI-202012 01 #waspada #varian baharu #strain baharu #mutasi virus