KUALA LUMPUR:Keberkesanan vaksin keluaran Pfizer terhadap varian baharu COVID-19 yang dikesan beberapa negara belum lagi diketahui, tetapi ancaman varian baharu itu boleh diatasi menerusi kaedah baharu Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohd berkata ada kemungkinan vaksin kurang berkesan atau langsung tidak berkesan terhadap varian baharu itu.

"Bagaimanapun, dengan teknologi mRNA masalah ini akan dapat diatasi.

"Kandungan mRNA dalam vaksin boleh ditukar dengan mRNA baharu yang menyerupai virus varian baharu dalam masa beberapa minggu sahaja," kata Nurul Azmawati.

Beliau berkata demikian menerusi sesi webinar bertajuk 'Takut Dengan Vaksin COVID-19' anjuran bersama USIM dan Pusat Sains Media (SMC) Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan bekas pesakit COVID-19 untuk turut mengambil vaksin memandangkan ia membantu meningkatkan imuniti terhadap wabak itu.

Jumlah bekas pesakit yang mendapat jangkitan kedua adalah sedikit, oleh itu pakar menjangkakan antibodi yang dihasilkan hanya boleh melindungi seseorang bagi jangka masa beberapa bulan sahaja, katanya.

"Selepas dijangkiti COVID-19, sistem imuniti akan menghasilkan antibodi untuk menghalang jangkitan seterusnya. Masih banyak perkara yang belum difahami tentang antibodi terhadap virus penyebab COVID-19.

"Vaksin boleh diambil setelah seseorang bebas daripada sebarang jangkitan. Jika pesakit COVID-19 menerima rawatan 'convalescent serum', mereka perlu menunggu sehingga 90 hari sebelum mengambil vaksin," katanya.

Sementara itu, Pengajar Khas Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak dalam webinar itu menyatakan kesan sampingan selepas suntikan vaksin merupakan perkara biasa dan positif kerana ia bermakna tindak balas imun berfungsi.

Antara kesan sampingan vaksin COVID-19 yang dilaporkan adalah sakit di tempat yang dicucuk, lemah lesu, sakit otot dan sendi, deman serta cirit-birit, dengan simptom itu kebiasannya hilang dalam satu ke dua hari.

Beliau turut berkata kesan sampingan anafilaksi (reaksi alergi yang cepat) dilaporkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat merangkumi tekanan darah rendah, pening dan sesak nafas, namun, rawatan cepat boleh disediakan serta tiada kematian dilaporkan akibat anafilaksi selepas suntukan vaksin.

-- BERNAMA