KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat pertambahan 49 kes COVID-19 varian Omicron di negara ini menjadikan jumlah kumulatif kepada 62 kes.

Ia selepas Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 15 sehingga 21 Disember 2021.

"Daripada jumlah ini, 60 sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.

"Pada 24 Disember 2021, 49 daripada 60 sampel 'presumptive' ini telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR," katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Sementara itu, jelasnya daripada 62 kes varian Omicron, 61 daripadanya adalah jangkitan import dari luar negara.

Manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki berkemungkinan merupakan jangkitan tempatan dilaporkan di Negeri Sarawak pada 24 Disember.

"Kes ini merupakan seorang lelaki warganegara China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga (3) tahun.

"Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 3 tahun ini. Punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching," jelasnya.

Tambahnya kes juga adalah lengkap vaksinasi dan keadaan beliau adalah stabil.

Seramai dua kontak telah dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial.

Kedua-dua kontak ini telah diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan
keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif COVID-19.

Jesteru, KKM bersama lain-lain agensi telah mengambil tindakan memperkukuhkan kawalan di
pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan yang berisiko tinggi.