LARUT: Pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh yang merekodkan kes pertama positif varian Omicron COVID-19, telah menjalani ujian pemeriksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelajar itu hanya dikesan dijangkiti varian baharu itu selepas memasuki negara ini.

"Sebelum ini kita tak tahu bahawa dia mempunyai virus sebegitu rupa... jadi walau bagaimanapun, kita akan ambil tindakan seperti apa yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kerajaan sebenarnya bukan dapat memastikan sama ada orang tu masuk dengan mempunyai virus dalam dirinya, yang kita tahu bahawa bila kita test (uji), dia tak ada apa-apa, kita benarkan dia masuk dan selepas seminggu dua, dia baru didapati ada virus," jelasnya.

Beliau ditemui selepas Majlis Mahabbah Rasulullah sempena sambutan Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Larut pada Sabtu.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil tindakan untuk membantu mereka yang terlibat dengan kes tersebut.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu itu merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.

BACA: KKM jamin terus kenal pasti kontak rapat kes indeks Omicron - Khairy

Katanya, dia menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kes diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Pelajar itu juga menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.

BACA: Kes pertama varian Omicron di Malaysia, 7 kontak rapat disah negatif COVID-19

Pengesanan kontak rapat, ujian saringan dan kuarantin wajib, telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang, dan saringan awal mendapati mereka kesemua negatif.