PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) juga melaporkan, majoriti kes import COVID-19 varian Omicron adalah dari Arab Saudi.

Menurut Menterinya, Khairy Jamluddin, 30 daripada 49 kes baharu yang dilaporkan ini adalah dalam kalangan mereka yang baru pulang mengerjakan ibadah umrah.

"Daripada kes Omicron yang dilaporkan pada 23 hingga 24 Disember sebanyak 49 kes baharu ini, 30 datangnya dari Arab Saudi iaitu mereka yang baru pulang daripada mengerjakan umrah.

"Kita dapati sebahagian besar tidak patuh kepada pengasingan dengan ahli keluarga, mereka bergaul dan menerima kedatangan tetamu serta jiran tetangga. Mungkin ingin mengambil berkat, tapi terambil Omicron," katanya di sidang media pada Sabtu.

Beliau mengharapkan kepada semua individu yang pulang dari luar negara agar terus patuh kepada SOP untuk terutamanya kepada kemudahan kuarantin di rumah.

"Bagi mereka yang pulang dari Arab Saudi, pada minggu hadapan tertakluk kepada pelaksanaan nanti kita akan minta mereka pakai peranti 'digital tracker' untuk kita pastikan mereka patuh duduk di rumah.

"Nasihat kedua yang malangnya tidak dapat kita kenakan penguatkuasaan adalah tolong jangan keluar daripada bilik, bergaul dengan ahli keluar dan terima kunjungan sampailah habis kuarantin," katanya.

Beliau turut menjelaskan kes import lain turut melibatkan beberapa negara iaitu lima kes daripada United Kingdom, empat kes dari Qatar serta Nigeria.

Manakala kes import dari Turki, Itali dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masing-masing dengan satu kes import varian Omicron.

Semua daripada kes ini adalah daripada kategori satu dan dua serta tiada gejala teruk.