LARUT: Majikan perlu bersedia untuk menghadapi kelewatan dalam proses pengambilan pekerja asing, ekoran kebimbangan varian Omicron.

Ia ekoran langkah kerajaan memperketatkan proses kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, proses itu akan dilakukan lebih berhati-hati dengan mengambil kira keperluan kesihatan dan ekonomi.

"Sebab itu proses agak ketat sekarang, semua majikan patut menerima hakikat (bahawa) yang penting (ialah) untuk menjaga kesihatan.

"Oleh kerana kita menangani masalah COVID-19 terlalu lama, jadi kita nak tentukan bahawa apa yang kita lakukan ada keseimbangannya dari segi ekonomi dan kesihatan yang sama-sama kita perjuangkan selama dua tahun ini," tegasnya.

Beliau ditemui selepas Majlis Mahabbah Rasulullah sempena sambutan Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Larut pada Sabtu.

Hadir sama ialah Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Exco Perak, Mohd Akmal Kamarudin.

Menurut Hamzah, sekiranya majikan ingin mendapatkan segera pekerja asing, mereka boleh menggunakan 200,000 pekerja asing yang telah berada di negara ini.

Minggu lalu, beliau berkata, masalah lambakan kira-kira 200,000 warga asing tidak bekerja di negara ini yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, kerajaan telah berbincang dengan beberapa syarikat yang menggajikan pekerja asing termasuk peladangan, untuk mengambil mereka bekerja semula.