'Perang' di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kemungkinan petanda awal pengakhiran riwayat parti itu sendiri.

Veteran politik, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik berkata, hanya tuhan kini yang mengetahui pertelingkahan dua pemimpin itu yang kini secara terbuka mengeluarkan kenyataan masing-masing tanpa berselindung lagi.

“Nampaknya ‘Perang’ telah bermula di dalam PKR bila Presiden parti mengarahkan Timbalan Presidennya meletakkan jawatan.

“Timbalan Presiden pula menjawab ’cermin muka kamu dahulu!’ Adakah ini petanda awal pengakhiran riwayat sebuah parti politik? Hanya Allah saja yang maha mengetahui,” katanya di ciapan terbaharu Twitternya.

BACA: Isu video intim: 26 pemimpin PKR tegur Anwar, henti pecah belahkan parti

Sebelum ini, Anwar berpendapat Mohamed Azmin perlu mengambil cuti jika video intim yang mengaitkan beliau itu sahih dirinya.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, tegas Anwar, tidak perlu berbuat demikian jika siasatan mendapati sebaliknya.

Namun, kenyataan Anwar itu dibalas Azmin yang meminta Presiden PKR itu melihat cermin sewaktu menyatakan cadangan tersebut.

BACA: Saya doa video Anwar dahulu palsu - Khairuddin

BACA:
Nasihat Anwar pada Azmin, ambil cuti jika video intim sahih

Dalam perkembangan berkaitan, Rahim menegaskan, inilah masa terbaik untuk Anwar membersihkan dirinya dari sebarang fitnah dan persepsi negatif yang mengaitkannya dengan video-video lucah yang pernah tersebar luas satu ketika dulu.

“Kalau PKR bertegas agar Mohamed Azmin disiasat kerana dikatakan terlibat dengan viral video semburit bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, Anwar sewajarnya menerima saranan dan inisiatif yang dibuat Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara hati terbuka dan positif demi pembersihan dirinya.

“Saya membuat pemerhatian sejak saya dianiaya dahulu, perhubungan Anwar dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa melalui satu era yang getir, goncang dan tegang sehinggalah sekarang. Dalam Islam inilah yang dipanggil kifarah.

“Apapun laluan sejarah yang telah saya lalui, pahit getir yang telah saya alami, saya masih mendoakan moga-moga Anwar masih boleh mencapai cita-cita untuk menjadi calon perdana menteri kelapan,” ujarnya

Bagaimanapun Rahim menjelaskan, kini dia dan Anwar adalah sahabat yang bersedia melupakan sejarah lalu di samping bekerja kuat untuk membantu Dr Mahathir mentadbir negara serta mengembalikan kecemerlangan Malaysia ke persada dunia.