KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad agar memohon maaf berhubung insiden melibatkannya dengan seorang wartawan wanita yang tular baru-baru ini.

Sivakumar menyifatkan bahasa digunakan dalam video yang tular itu agak kasar dan konfrontasi sebegitu perlu dielakkan.

“Wartawan itu menjalankan tugas, tanggungjawabnya. Dia nak tahu apakah sebab Kerajaan Negeri Kedah telah menutup semua kedai-kedai nombor. Jadi tak salah untuk wartawan bertanya soalan seperti ini.

“Saya faham ini adalah niat parti Pas untuk meraih undi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Itu adalah strategi. Yang Berhormat Menteri menangani isu ini dengan konfrontasi dengan cara kasar kepada wartawan wanita itu adalah tidak baik.

“Saya minta menteri dan timbalan menteri (Datuk Awang Hashim) untuk memohon maaf kepada beliau dan keluarga beliau secara terbuka,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Idris kemudian bangun dan menjawab ringkas terhadap apa yang dibangkitkan Sivakumar.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat Batu Gajah, terima kasih kepada Tan Sri (Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun).

“Walaupun perkara ini di luar konteks, tak dibincang tapi pada saya tidak ada unsur-unsur yang bersifat provokasi pun. Itu sahaja, terima kasih,” katanya.

Media pada Ahad melaporkan Idris dan Awang dilihat “mengasak” seorang wartawan yang menyoal berkaitan isu penutupan kedai nombor ekor oleh kerajaan pimpinan parti itu di Kedah.

Ketika ditanya wartawan itu mengenai rasa khuatir kalangan masyarakat terhadap keputusan Kedah itu, Idris dikatakan bertanya kembali kepada wartawan terbabit sama ada dia boleh menerima sekiranya suaminya seorang “kaki judi”.

Manakala, Awang pula mahu tahu sama ada wartawan terbabit adalah warga Malaysia selepas menegurnya kerana bertanya soalan dalam Bahasa Inggeris.