KUALA LUMPUR: Malaysia masih kekal sebagai antara pasaran utama bagi pekerja tidak mahir Vietnam selepas Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, kata ketua jabatan pengurusan buruh Kedutaan Vietnam di Malaysia, Thai Phuc Thanh.

Thanh berkata kerjasama dalam pasaran buruh antara Vietnam dan Malaysia telah berkembang secara berterusan dan substantif.

Kedua-dua kerajaan pada 2003 menandatangani perjanjian kerjasama pertama dengan penghantaran buruh Vietnam ke Malaysia, yang disambung semula pada 2015 dan 2022 dalam rangka lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Vietnam.

"Kerjasama buruh sentiasa disentuh dalam kebanyakan mesyuarat peringkat tinggi antara kedua-dua negara, dan berkait rapat dengan kepentingan pekerja, perniagaan dan matlamat pembangunan setiap negara.

"Ia bukan sahaja membabitkan kerjasama dua hala tetapi juga dalam rangka kerjasama ASEAN, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan perjanjian perdagangan yang dimeterai kedua-dua pihak," katanya dipetik Agensi Berita Vietnam (VNA).

Thanh menggariskan faedah utama perjanjian kerjasama buruh kepada kedua-dua negara, mengatakan bahawa perjanjian ini telah membantu mewujudkan pekerjaan dan pendapatan untuk ratusan ribu pekerja Vietnam.

"Statistik rasmi menunjukkan terdapat lebih 12,300 buruh Vietnam yang bekerja di Malaysia.

"Jumlah pendapatan pekerja Vietnam di Malaysia dalam tempoh 2010 - 2020 dianggarkan kira-kira US$1.5 bilion," katanya.

Beliau berkata Malaysia dianggap sebagai pasaran sesuai untuk buruh luar bandar, sambil menegaskan bahawa pekerja Vietnam berpeluang bekerja di hampir semua industri di Malaysia seperti pembuatan, kejuruteraan mekanikal, tekstil, pembinaan, perkhidmatan dan pertanian.

"Kerjasama dalam sektor buruh juga telah menyumbang kepada pengukuhan kerjasama ekonomi, perdagangan, pelancongan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

"Untuk mengeksploitasi potensi kerjasama buruh secara berkesan antara kedua-dua negara, adalah perlu untuk mewujudkan keadaan yang menggalakkan pekerja untuk melancong, menetap dan bekerja secara sah, dan seterusnya membangunkan segmen pasaran buruh mahir dan berkelayakan tinggi," kata Thanh.

-- BERNAMA