JOHOR BAHRU: Keputusan sama ada inisiatif bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Malaysia-Singapura terus ditangguh atau kembali beroperasi akan ditentukan dalam tempoh 48 jam sebelum tamat tarikh penangguhannya iaitu pada 21 Jan tahun depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata sekiranya VTL udara kembali diteruskan pada tarikh tersebut, jumlah jualan tiket penerbangan berkemungkinan akan dikurangkan hingga 50 peratus daripada jumlah sedia ada.

Beliau berkata keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada kerajaan Singapura yang akan membuat penilaian situasi semasa COVID-19 di republik berkenaan susulan penularan varian Omicron.

"Saya ada mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Singapura pada 21 Dis lepas, beliau memaklumkan mengapa pihaknya mengambil keputusan menangguhkan inisiatif berkenaan, bukan ditamatkan.

"Pihaknya kemudian akan membuat penilaian sama ada ia akan disambung semula sepertimana dijadualkan pada 21 Jan atau ditangguh lagi, dan keputusan itu hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berkenaan," katanya pada sidang akhbar yang diadakan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini hari ini.

Wee berkata bagi inisiatif VTL darat, perkara itu tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana di luar bidang kuasanya.

Pada 22 Dis lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan penjualan tiket darat serta penerbangan VTL digantung sementara bermula 23 Dis hingga 20 Jan tahun depan, dan akan dibuka semula selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi semasa COVID-19 di kedua-dua negara.

Khairy berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura mengenai satu kluster tempatan COVID-19 termasuk kemungkinan varian Omicron.

Sementara itu, Wee yang juga Presiden MCA berkata MCA Johor telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pengurusan Banjir melibatkan 650 sukarelawan termasuk ahli parti dan masyarakat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata jawatankuasa itu dibahagikan kepada tiga zon iaitu utara, tengah serta selatan dan ia diketuai oleh Setiausaha MCA Johor Ng Keng Heng.

"Jawatankuasa ini akan disertai sukarelawan MCA dan juga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta masyarakat awam yang mempunyai pengalaman dalam berdepan situasi bencana banjir.

"Tujuan jawatankuasa ini diwujudkan adalah untuk memberi respons segera dalam situasi banjir sama ada melibatkan usaha menyelamat mangsa atau kerja-kerja pembersihan," katanya sambil menambah jawatankuasa itu turut mempunyai aset sebanyak lima bot dan 20 kenderaan pacuan empat roda.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan kesemua agensi berkaitan dan pejabat daerah di negeri ini diarahkan untuk bersiap siaga serta bertindak pantas dalam usaha penambatan banjir susulan laporan ramalan awal banjir yang dijangka berlaku pada 1 Jan ini.

Semalam, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula hari ini manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Jan.

-- BERNAMA