KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan wabak polio di negara ini sebagai tamat.

Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin pengisytiharan itu dibuat oleh Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura pada Jumaat.

"Pengisytiharan ini dilakukan berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang telah melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dijalankan di Malaysia.

"Berdasarkan penilaian tersebut, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak tersebut telah diiktiraf sebagai berjaya menghentikan penularan wabak polio," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Pada penghujung tahun 2019, negara digemparkan dengan pengesanan satu kes polio yang di Sabah selepas 27 tahun negara bebas daripada penyakit itu.

Penyakit polio yang berpunca daripada virus polio menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal.

Malah, penyakit itu juga boleh mengakibatkan kegagalan pernafasan serta kematian.

Jelas Khairy, KKM telah mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) di seluruh negara.

Katanya, ia termasuk mengambil sampel najis kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun.

Dari tempoh 1 Januari 2019 sehingga 9 September 2021, sebanyak 426 kes menerusi AFP telah dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, empat kes telah disahkan sebagai polio, kesemuanya dilaporkan di negeri Sabah, masing-masing berumur tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun ketika mereka disahkan dijangkiti polio.

Menerusi Kempen Imunisasi Polis pula jelas Khairy, seramai seramai 809,261 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin bOPV, manakala 784,062 orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin mOPV2.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan WP Labuan.

"Mereka ini adalah wira barisan hadapan yang menjayakan usaha untuk menamatkan wabak polio, walaupun pada masa yang sama turut berjuang untuk mengawal pandemik COVID19.

"Sesungguhnya dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan tanpa mengira penat lelah bagi memastikan setiap kanak-kanak di dalam negara kita terpelihara daripada jangkitan polio adalah usaha yang mulia dan amat dihargai," kata Khairy lagi.