BAGAN SERAI: Kerajaan tidak pernah menganaktirikan wad kelas tiga di hospital-hospital seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Sebaliknya, jelas beliau, ia adalah polisi kerajaan yang telah diamalkan sejak lebih 60 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, ia perlu diubah bagi memberi laluan untuk menyediakan kemudahan yang lebih keselesaan kepada rakyat, termasuk golongan B40.

“Kerajaan akan sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat, keselesaan rakyat di hadapan.

“Jadi untuk wad kelas tiga ini, saya rasa sudah sampai masanya polisi lapuk mesti dihapuskan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke projek Hospital Parit Buntar di Simpang Lima, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengapa wad kelas tiga di hospital kerajaan masih tidak menyediakan penghawa dingin bagi memberi keselesaan kepada pesakit, yang kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, beliau memberitahu, kemajuan projek Hospital Parit Buntar kini telah mencapai 64 peratus dan dijangka siap pada Mei 2023.

Menurutnya, pembinaan projek itu tergendala sejak pandemik COVID-19 melanda dunia pada Mac 2020 tetapi kini kerja-kerja pembinaan kembali rancak semula.

Katanya, hospital itu akan mempunyai 76 buah katil pesakit dan boleh diperbesarkan lagi kerana masih mempunyai kawasan tanah yang luas.

“Buat masa ini, keperluannya adalah 76 katil dan di masa hadapan, sekiranya diperlukan, ia boleh dibesarkan lagi,” ujarnya.