BATU GAJAH: Tiada sebarang paksaan terhadap majikan untuk melaksanakan waktu kerja fleksibel selaras dengan pindaan Akta Kerja 1955 yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Sebaliknya, terpulang kepada majikan sendiri sama ada untuk melaksanakannya atau pun tidak.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, ia adalah suatu penambahbaikan dalam sistem kerja di negara ini.

"Bukan semua orang boleh mengikuti masa yang sama untuk bekerja. Contohnya daripada 8 pagi hingga 5 petang dan sebagainya.

"Mungkin ada pihak-pihak tertentu yang tidak boleh bekerja pada waktu tersebut kerana mereka ada urusan-urusan lain, tanggungjawab keluarga dan sebagainya yang menyebabkan mereka, mungkin mereka terpaksa bermula kerja pada waktu yang lebih lewat dan mereka juga sanggup untuk balik lewat.

"Kalau kita tidak ada, tidak memberi fleksibeliti tersebut, mungkin dia tak mampu untuk masuk sebagai seorang tenaga kerja," katanya.


Beliau ditemui selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Surau Nurul Huda, Taman Tasek Putra, Tronoh, di sini pada Ahad.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan menggalakkan majikan agar melaksanakan waktu kerja fleksibel.

Beliau yakin, pelaksanaan waktu kerja fleksibel akan meningkatkan lagi produktiviti pekerja kerana mereka berpuas hati dengan waktu kerja yang sesuai untuk mereka.

Menurutnya, mungkin ada majikan yang telah melaksanakan perkara tersebut dan dengan adanya pindaan yang dilakukan, akan menggalakkan lebih ramai majikan melaksanakannya.

Pada Jumaat, Sivakumar berkata, Pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan waktu kerja fleksibel adalah antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pindaan berkenaan juga termasuk dalam beberapa pelan lain yang dirancang oleh kementerian itu dan pihaknya sedang mendapatkan maklum balas daripada semua agensi berkaitan untuk mengetahui peranan serta fungsi setiap jabatan dengan baik.