KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan pada dasarnya terkejut dengan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjelaskan Petronas tidak akan membuat pembayaran royalti tunai petroleum kepada mana-mana negeri termasuk Kelantan.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata beliau terkejut dengan jawapan tersebut kerana isu tuntutan royalti yang sekian lama diperjuangkan kerajaan negeri Kelantan adalah selari dengan perjanjian petroleum yang ditandatangani oleh Petronas pada 1975.

“Cuma saya peribadi saya sebut kita rasa terkejut dengan jawapan YB Menteri Kewangan sebab kita mengharapkan  supaya bayaran tunai atau royalti nii diberikan kepada Kelantan selari dengan kandungan Perjanjian Petroleum 1975 dahulu,” katanya.

Tambah Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas, kerajaan negeri Kelantan melalui Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung perkara berkenaan.

Mohd Amar berkata demikian selepas menyampaikan kuliah mingguan secara dalam talian di ibu pejabat Pas Negeri di sini pagi tadi.

BACA: Tiada royalti petroleum untuk Kelantan, hanya wang ihsan - Tengku Zafrul

Semalam dalam jawapan bertulis beliau di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan akan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mengemukakan soalan berhubung status bayaran royalti kepada kerajaan Kelantan.

Tuntutan royalti petroleum di kawasan bertindih di JDA atau Joint Development Area membabitkan perairan antarabangsa itu mula dibangkitkan oleh bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa pada tahun 2008.

Isu berkenaan berlarutan sehingga Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menyalurkan wang ihsan berjumlah RM200 juta pada tahun 2014 melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan, JPP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, MAIK.

Bagaimana pun semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), wang ihsan terbabit telah disalurkan terus kepada akaun Kerajaan Kelantan.

Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri menerima RM400 juta wang ihsan hasil royalti di kawasan yang menjadi tuntutan itu.