KUANTAN: Seorang guru mendakwa kerugian lebih RM277,000 selepas diperdaya Macau Scam menerusi beberapa panggilan telefon bermula 18 Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 55 tahun itu pada mulanya telah dihubungi oleh seorang individu yang mendakwa daripada syarikat insurans dan memaklumkan mangsa telah membuat tuntutan sebanyak RM68,800 dengan tiga kali tuntutan.

Bagaimanapun, Mohd Wazir berkata, mangsa menafikan tuntutan tersebut sebelum disambungkan dengan seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai polis dan memaklumkan wanita itu terlibat dengan pengubahan wang haram dan satu waran tangkap telah dikeluarkan ke atasnya.

"Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang wanita pada Isnin yang mendakwa sebagai timbalan pendakwa raya dan mengarahkan mangsa menukar kad juruwang automatik (ATM) dan nombor pin dengan menggunakan nombor hadapan kad pengenalan selain menggunakan nombor telefon diberikan.

"Pada keesokannya, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lagi individu yang mendakwa sebagai pegawai polis dan memintanya menyatukan kesemua wang simpanan ke dalam satu akaun bank mangsa, sebagai pengesahan kesemua wangnya bukan daripada sumber pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa telah bertindak mengikut arahan yang diberikan dengan menyatukan kesemua wang simpanannya di dalam satu akaun berjumlah lebih RM277,000 sebelum membuat semakan akaun tersebut pada Rabu, dan mendapati baki yang tinggal hanya RM128.13.

Katanya, mangsa telah menghubungi semula suspek namun tidak dijawab.

Sehubungan itu, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA