KULAI : Polis menyerahkan seorang wanita yang dipercayai memiliki masalah mental ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim pada Khamis, setelah wanita berkenaan ditahan kerana cuba mencuri wang di kaunter bas Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kulai di sini, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, polis mengambil keputusan menyerahkan wanita berkenaan kepada pihak hospital bagi menjalani rawatan berikutan suspek gagal memberikan butiran diri ketika disoal siasat.

“Pada 25 Januari, tular di laman sosial Facebook video mengenai seorang wanita yang ditahan dan diperiksa oleh beberapa orang awam kerana disyaki telah mengambil wang dari laci kaunter bas ekspres di Stesen Bas RTC Kulai.

“Pihak polis yang dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan telah ke lokasi dan hasil siasatan, kejadian dipercayai berlaku sekitar 9.00 malam.

“Bagaimanapun, setelah disoal siasat dan pemeriksaan yang dilakukan ke atasnya, suspek telah mengembalikan wang yang diambilnya kepada majikan penjaga kaunter bas ekspres berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Untuk rekod, wanita berkenaan dipercayai telah mengambil sejumlah RM800 dari laci kaunter bas ekspres berkenaan.

Sementara itu menurut Beng Yeow, majikan penjaga kaunter bas ekspres berkenaan telah memaklumkan kepada polis agar kes itu tidak dipanjangkan kerana suspek telah pun mengembalikan wang yang diambilnya itu.- Sinar Harian