PASIR MAS: Farrah Emirah Mazlan, 26, yang hamil tujuh bulan ditemui maut ditembak pada perut di dalam sebuah kereta di sini, pada Sabtu, disifatkan seorang yang periang dan tidak mempunyai musuh.

Ibunya, Siti Haja Said, 46, berkata dia dan keluarga tidak sangka kejadian berkenaan berlaku kepada anaknya yang juga ibu tunggal mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

"Arwah tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan dia (Farrah Emirah) tidak mempunyai musuh. Arwah juga tidak pernah bergaduh dengan sesiapa dan tidak pernah bercerita ada masalah dengan sesiapa," katanya selepas majlis pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Bechah Kelubi di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, ibunya berharap agar polis segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap orang yang membunuh anaknya.

"Saya berharap polis dapat segera menangkap si pelaku. Perbuatan dia terlalu kejam ke atas anak saya.

"Kalau ada apa masalah sepatutnya berbincang secara baik dengan keluarga sebab dia (arwah) pun ada keluarga. Diharap polis cepat ambil tindakan," katanya.

Tembak Wanita Hamil | Jenazah Farrah selamat dikebumikan

BACA: Wanita hamil mangsa tembakan merupakan ibu tunggal tiga anak

BACA: Wanita mengandung ditemui maut dengan kesan tembakan pada perut

Jenazah Farrah Emirah selamat dikebumikan jam 4.30 petang Ahad dan upacara pengebumian dihadiri lebih 50 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zulkarnain Abdullah.

Pada jam 4 petang Sabtu, mayat mangsa ditemui dengan kesan tembakan di perut dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Kampung Repek di sini, sebelum orang awam melaporkannya kepada polis.


Mangsa, Emirah Mazlan, 26, ditemukan sekitar jam 4 petang oleh orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.