JELI: Seorang wanita yang dilaporkan sesat di dalam hutan ditemui selamat di tepi jalan Kuala Balah di sini pada Jumaat.

Mangsa berusia 36 tahun yang dipercayai mengalami masalah kemurungan ditemui kira-kira jam 4.30 petang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Abdullah berkata, seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi untuk kerja mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 petang.

"Mangsa ditemukan dalam keadaan separuh sedar selepas setengah jam SAR digerakkan.

"Kita menemui mangsa pada jarak 500 meter dari lokasi terakhir dia meninggalkan motosikalnya sebelum dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, SAR turut dibantu lima anggota polis dan penduduk setempat yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

"Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Balah untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Ramli berkata, mengikut maklumat awal, mangsa dilaporkan meminjam motosikal saudaranya dengan alasan untuk mengambil angin di tepi sungai berhampiran kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, ahli keluarga yang ragu-ragu dengan tindakan itu telah bertindak mengekori mangsa selepas dilihat menunggang motosikal dalam keadaan laju.

"Setiba di kawasan simpang jalan mati, mangsa terus bertindak membelok masuk ke kawasan hutan dan tidak pulang-pulang selepas itu," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian 


Bagi yang memerlukan perkhidmatan sokongan emosi, boleh menghubungi talian tertera:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)
KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929