KUALA LUMPUR: Seorang penumpang wanita maut selepas bas persiaran dinaikinya merempuh belakang sebuah lori treler di kilometer 425.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Noor Azam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.53 pagi, pada Jumaat.

“Kemalangan melibatkan bas persiaran yang membawa 40 penumpang yang telah melanggar bahagian belakang sebuah lori treler 20 tan dari arah yang sama.

“Seorang penumpang wanita dikenali sebagai Hamaizah Fadzilah, 54, yang duduk di kerusi paling hadapan tersepit di bahagian yang remuk dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Nor Azam berkata, pemandu bas dan lori serta semua penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kemalangan | Wanita maut, bas bawa 40 penumpang rempuh lori