SEMPORNA: Seorang pelancong tempatan meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung ketika melakukan aktiviti selam snorkel di tepi pantai sebuah pulau peranginan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang, mangsa wanita berusia 53 tahun mengadu sesak nafas dan cuba diselamatkan sebelum dibawa ke hospital namun disahkan telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa dibawa naik ke bot dan daratan untuk diberi bantuan pernafasan oleh kakitangan pusat peranginan terbabit.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dipercayai disebabkan serangan jantung.

"Bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian, " katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, kematian mangsa tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 38 saat sejak Selasa menunjukkan seorang mangsa sedang diberi bantuan kecemasan di kawasan pusat peranginan di Semporna. - Sinar Harian