KUALA LUMPUR: Seorang wanita rentung selepas kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 10.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) di sini pada Sabtu.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Khairuddin Abdurrahman berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.14 pagi.

"Seramai 17 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil dan Pudu bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Khairuddin berkata, setibanya pasukan di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan dua buah kereta.

"Seorang lelaki yang memandu kereta Proton Saga tidak mengalami kecederaan.

"Sebuah lagi kereta telah musnah terbakar 100 peratus dengan seorang mangsa yang merupakan wanita ditemui rentung di bahagian tempat duduk pemandu.

"Empat lagi penumpang lain terdiri daripada seorang lelaki mengalami kecederaan di kepala dan tiga lagi wanita dilaporkan selamat," katanya.

Khairuddin berkata, kes tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -Sinar Harian