KUALA LUMPUR: Seorang jurujual wanita warga tempatan mengalami kerugian sebanyak RM55,250 selepas mengisi maklumat peribadi serta perbankan di pautan yang digunakan untuk mencari pekerjaan, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa berusia 32 tahun itu telah menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp dari nombor tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian.

"Percaya dengan tawaran kerja tersebut, mangsa telah mendaftar melalui pautan yang diberikan dan telah mengisi maklumat peribadi serta perbankan miliknya untuk tujuan pembayaran pendaftaran.

"Pada hari yang sama, mangsa menerima notifikasi pesanan ringkas daripada bank dan telah dimaklumkan terdapat pengurangan wang sebanyak RM55,250 di dalam akaun bank miliknya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari dirinya ditipu dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana melakukan capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan kesalahan lanjut.

Katanya penggunaan platform carian kerja untuk mendapatkan butiran perbankan mangsa dengan cara yang tidak sah merupakan modus operandi dan trend terkini pihak tidak bertanggungjawab, bertujuan membuat pindahan wang melalui akaun mangsa tanpa kebenaran.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memuat turun aplikasi yang tidak berkaitan selain tidak mendedahkan butir-butir perbankan kepada pihak ketiga atau dalam sebarang aplikasi daripada pautan yang mencurigakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya berkata siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung insiden anggota polis menaiki kereta peronda (MPV) melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki warga Singapura yang tular di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Katanya kejadian tersebut berlaku berdekatan pusat beli-belah Lalaport, Jalan Pudu pada 10 April lepas kira-kira 12.30 tengah malam, malah siasatan telah dijalankan sebaik sahaja ciapan dan video berhubung kejadian itu tular.

"Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini dimohon tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi ASP Jaya Dalloh iaitu Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) di talian 014-6396758, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di talian 03-26002222, hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau balai polis berhampiran," tambahnya.

Noor Delhan menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya yang membuat salah laku berkenaan.

-- BERNAMA