SHAH ALAM : Seorang jurujual wanita yang tular di media sosial berhubung kehilangan rantai emas kanak-kanak di Karnival Jom Heboh, Sabtu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mencuri.

Nor Zannah Andi Baso, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Nur Faizah Abdul Sani.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa mencuri rantai emas milik anak saudara seorang wanita berusia 26 tahun, di tapak karnival itu Stadium Shah Alam, di sini pada jam 5.39 petang, Sabtu lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa mencadangkan tertuduh diberi diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Oon Guo Chen yang mewakili ibu kepada seorang anak itu, merayu agar kadar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana dia baharu sahaja melahirkan bayi perempuannya, tiga bulan lalu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Faizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Ogos depan.

Pada 4 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, taktik seorang wanita mencuri rantai leher kanak-kanak di tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Seksyen 13 di sini, terbongkar selepas tindakannya dirakam pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, rakaman video mengenai tindakan suspek itu telah tular di media sosial. - Sinar Harian