JOHOR BAHRU: Kebanyakan jangkitan malaria yang dikesan di Pulau Pinang ketika ini berpunca daripada warga asing yang datang dari negara-negara Afrika.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menggesa saringan kesihatan dijalankan ke atas pekerja-pekerja asing di negeri berkenaan.

Katanya, pihak majikan, khususnya, perlu memainkan peranan bagi memastikan usaha itu dapat dilaksanakan sepenuhnya yang bertujuan mengesan penularan jangkitan malaria sekali gus memeranginya di peringkat awal.

"Itu kita kena pastikan… jalankan saringan kesihatan sebelum kita ambil pekerja luar. Kebanyakan jangkitan malaria yang dibawa masuk dari Afrika dan saringan kesihatan itu amat penting. Kita boleh kenal pasti di peringkat awal,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat negeri Johor di Bandar Dato' Onn, di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Pulau Pinang dilaporkan menghadapi masalah urban malaria berikutan kebanjiran warga asing di pelbagai sektor ekonomi yang tidak diketahui status kesihatan mereka.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kes langya, sejenis virus baharu yang menjangkiti segelintir penduduk di wilayah Shandong, China.

Katanya, ia merupakan jangkitan domestik di negara terbabit dan belum dilaporkan merebak secara global

Menurut Dr Noor Hisham, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perkembangan perkara itu.