Warga asing ditahan bersama rokok seludup bernilai RM786,000

Petrus Bernard
Februari 8, 2019 09:44 MYT
Barang kes yang disita adalah pelbagai jenis rokok kretek yang bernilai RM95,000 dengan jumlah cukai keseluruhan sebanyak RM786,000.
Seorang warga asing dipercayai pemborong rokok seludup berjaya diberkas bersama rokok bernilai RM786,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Bubul Laut, dekat sini, 1 Feb lalu.
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, Datuk Madrim Tasan berkata, operasi berkenaan bermula pada kira-kira jam 2.30 petang.
Katanya, daripada hasil pemeriksaan, pasukannya telah berjaya menahan seorang lelaki warga Filipina berumur 36 tahun bersama pelbagai jenis bungkusan rokok di sebuah garaj di perkarangan rumah berkenaan.
"Pada ketika itu suspek sedang memikul bungkusan rokok dan mengaku bertanggungjawab ke atas pemilikan barang berkenaan.
"Lelaki bersama barang kes dibawa ke Pejabat Kastam Semporna untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Semporna, pada Jumaat.
Menurut Madrim, barang kes yang disita adalah pelbagai jenis rokok kretek yang bernilai RM95,000 dengan jumlah cukai keseluruhan sebanyak RM786,000.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati barang kes tidak mempunyai dakwat keselamatan, tiada setem hasil dan tiada amaran Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Oleh itu siasatan diteruskan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang iaitu RM956,620 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang iaitu RM1,913,240 atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Mengulas berhubung tangkapan melibatkan kegiatan rokok seludup, Madrim berkata, untuk rekod bermula 2 Jan sehingga kini, Kastam Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan 45 kes rokok dan 12 kes minuman keras.
"Justeru itu, orang awam diseru agar sentiasa menyalurkan maklumat tentang sebarang aktiviti penyeludupan dan tidak membeli rokok dan minuman keras yang tidak lulus kastam atau belum bayar cukai untuk elak ketirisan yang berlaku dengan meluas," ujarnya.
#Akta Kastam #aktiviti penyeludupan #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #JKDM Sabah #Kementerian Kesihatan Malaysia #okok kretek #Pejabat Kastam Semporna #rokok seludup #warga asing