PETALING JAYA: Seorang warga emas yang mendakwa dikasari penguat kuasa pihak berkuasa tempatan semasa operasi menangkap anjing liar kini disiasat kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Fakhrudin Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terhadap lelaki itu yang membenarkan anjing liar ke dalam premisnya dan menutup pintu pagar.

"Pasukan operasi gagal melaksanakan tugas penangkapan anjing liar kerana dihalang lelaki itu.

"Terjadi pergelutan antara pasukan penangkapan anjing dengan lelaki tersebut sehingga menyebabkan dia terkena batang rod menangkap anjing," kata Fakhrudin dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Rakaman insiden yang berlaku di Taman Kanagapuram di Petaling Jaya, tular di media sosial baru-baru ini.

Kata Fakhrudin, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sebelum ini Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa MBPJ memberikan penjelasan berhubung tindakan pegawainya dalam kejadian itu.

Menurut Lee, pihaknya juga telah mengeluarkan surat rasmi kepada Unit Integriti MBPJ untuk tindakan mereka berhubung kes tersebut, selain meminta penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai MBPJ semasa menjalankan operasi menangkap anjing.