KUALA LUMPUR : Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas sembilan pertuduhan menerima, memindahkan dan melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM700,000, tiga tahun lalu.

Ahmad Yusri Mohd Yunus, 67, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut empat pertuduhan, dia didakwa menerima wang berjumlah RM705,625 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada sebuah syarikat ke akaun semasa miliknya.

Bagi tiga pertuduhan lain, dia dituduh memindahkan wang RM77,000 yang juga hasil aktiviti haram secara dalam talian sebagai bayaran kepada tiga syarikat berlainan manakala dua lagi pertuduhan, melupuskan RM490,285 yang juga hasil wang haram melalui akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Maluri, Cheras di sini antara 6 hingga 13 November 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Perenggan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni mencadangkan bagi semua pertuduhan berkenaan, tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar rendah.

“Dia sudah diisytiharkan muflis, tidak bekerja, menghidap kencing manis dan baru menjalani pembedahan lutut,” katanya.

Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes.- Sinar Harian