KAJANG: Seorang warga emas ditemui mati ketika sedang menunggu giliran di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bangi, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.21 pagi yang memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di kerusi tempat menunggu kaunter terbabit.

"Pasukan ambulans yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan lelaki itu sudah tidak bernyawa lagi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid memberitahu, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Mayat lelaki yang berusia 76 tahun itu katanya, dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi pegawai penyiasat kes atau balai polis berhampiran dengan segera.